Sunday, August 25, 2013

SELAMAT HARI WANITA

25 OGOS setiap tahun telah diisythiharkan sebagai Hari Wanita Kebangsaan setelah mengambilkira kaum wanita juga memainkan peranan besar kepada pembangunan negara juga keluarga.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 50 peratus daripada keseluruhan jemputan pada sambutan Hari Wanita 2013 adalah lelaki kerana kebanyakan jenayah terhadap kaum hawa di negara ini, dilakukan golongan itu.
Sambutan Hari Wanita 2013 dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Pelbagai acara diatur sepanjang sambutan itu termasuk perbarisan wanita yang merupakan acara simbolik kepada tema, forum wanita, pengiktirafan Respek Wanita, pameran, keusahawanan di bawah KPWKM serta jualan produk, lapor Bernama.
Menurut Bernama, KPWKM berpendapat sambutan Hari Wanita merupakan landasan tepat bagi menyebar luas mesej kepada golongan lelaki khususnya bagi menghapuskan keganasan terhadap kaum wanita.
Justeru tema ‘Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera’ dipilih selaras usaha kerajaan membendung jenayah membabitkan wanita seperti ragut dan keganasan rumah tangga yang semakin menjadi-jadi kini.
“Selaku kementerian yang bertanggungjawab berkaitan isu wanita dan kesejahteraan masyarakat, KPWKM berpandangan bahawa ini merupakan masa yang paling tepat untuk menonjolkan isu tersebut dan seterusnya menanganinya secara bersungguh-sungguh,” menurut kenyataan kementerian di sini.
Kementerian berpendapat ‘Respek Wanita’ perlu dijadikan satu gagasan, budaya serta nilai yang dipegang semua lapisan masyarakat di negara ini.
“Nilai baharu ini perlu disemai dan dipupuk di kalangan generasi baharu dan akan datang sejak mereka kecil dan untuk merealisasaikannya ibu bapa perlu memulakan dengan siri individu itu sendiri,” menurut kenyataan itu.
“Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera” turut memberi satu gambaran bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan memberi pengiktirafan serta penghargaan besar terhadap kejayaan dicapai wanita hari ini.
Setiap tahun, kira-kira 3,000 wanita daripada pelbagai lapisan kaum, status ekonomi, pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi, pasukan badan beruniform, ahli politik serta pihak media dijemput bagi meraikan Hari Wanita.




No comments:

Post a Comment